AMALAN SEMPENA
BULAN RAHMAT (RAMADHAN)
“Adalah penting bagi kita
untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat
dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia
merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang
dengannya. Menjadi sumber motivasi buat
orang-orang yang beriman.
Berikut adalah beberapa
hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita
bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab
Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan beberapa kitab muktabar yang
lain. Semoga kita semua dapat
mengamalkannya, insyaALLAH.
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya
Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu
‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana
sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit
radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur
bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan
solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat
itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash
radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab
adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2.
Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d
radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama
mereka segera berbuka puasa.” (HR
Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu
berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak)
sebelum solat. Jika tidak ada ruthob
(kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan
tamar (kurma yang sudah kering). Jika
tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam
meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu
Daud dan At-Turmudzi)
3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi
dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak
ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin
negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4.
Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah
radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu,
apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata
kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.
Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka
hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku
sedang berpuasa””. (HR Bukhari &
Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu
‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka
Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5.
Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah
berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu
‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat
membilang dan menghitungnya.” (HR
Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu
‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan
tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap
kali berwudhu.” (HR Bukhari)
6.
Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu
‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu
lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam
bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran.
Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan
kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR
Bukhari)
7.
Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas
menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus
(mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah
amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita
tumpukan betul-betul dan menggandakannya.
Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah
yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur
al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa
kali pada bulan Ramadhan.
8.
Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid
Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Barangsiapa yang memberi
makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala
orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang
berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
9.
Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah
radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan
solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya
mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah
lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
10.
Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha
berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya
waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain
sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
11.
Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu
‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan
Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu
‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan
sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian
setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan
kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari &
Muslim)
Semoga kita semua dapat
mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam di atas. Janganlah dilepaskan
peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk
bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang
telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah
di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah,
merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan hidayah dan
taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita
semua akan nilai besar Taqwa, amin.
0 ulasan:
Catat Ulasan